Thursday, March 22, 2007

PENCEMARAN SUNGAI UTAMA

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Empat sungai di negara ini didapati paling tercemar sepanjang 2004 sehinggakan airnya tidak sesuai untuk tujuan minuman atau pengairan.Laporan Kualiti Alam Sekitar Malaysia 2004 yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini menyebut sungai-sungai itu ialah Sungai Menggaris di Sabah, Sungai Jelutong di Pulau Pinang serta Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di Johor.Menurut laporan itu pemantauan JAS juga mendapati Sungai Petang di Kedah, Sungai Penjuring, Sungai Teranum dan Sungai Teras di Pahang serta Sungai Liawan, Sungai Tandulu, Sungai Maliau dan Sungai Sualong di Sabah pula merupakan lapan sungai paling bersih di negara ini.Kebersihan sungai-sungai tersebut membolehkan airnya dijadikan sumber bekalan tanpa memerlukan rawatan.Katanya kajian hidrologi yang dilakukan mengkategorikan tiga sumber pencemaran sungai-sungai itu iaitu pencemaran fizikal seperti sampah sarap, pencemaran biologi seperti najis binatang yang menyebabkan kemunculan bakteria seperti E Coli dan pencemaran kimia yang terdiri daripada bahan kimia terlarut daripada pencemar fizikal dan biologi serta pencemar kimia.Menurut laporan itu sepanjang 2004, JAS melakukan pemantauan kualiti air di 926 stesen pemantau meliputi 120 lembangan sungai. Hasilnya kualiti air di 540 stesen diklasifikasikan sebagai bersih, 278 sedikit tercemar dan 108 tercemar.Secara umumnya kualiti air di stesen pemantauan yang terletak di hulu sungai didapati bersih, manakala yang terletak di hilir sungai didapati sedikit tercemar atau tercemar.Di kalangan lembangan sungai pula, kualiti air di 58 lembangan didapati bersih, termasuk lembangan-lembangan sungai Melaka di Kedah, Sungai Golok di Kelantan, Sungai Rajang di Sarawak dan Sungai Kinabatangan di Sabah.Lembangan Sungai Sepang di Selangor, Sungai Linggi di Negeri Sembilan, Sungai Samarahan di Sarawak dan Sungai Kalabakan di Sabah pula merupakan antara 53 lembangan sungai yang kualiti airnya didapati sedikit tercemar.Sementara itu kualiti air di sembilan lembangan sungai di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Johor didapati tercemar. Sungai-sungai itu ialah Juru, Pinang/Kluang dan Jejawi di Pulau Pinang, Buloh dan Klang di Selangor serta Segget, Kempas, Danga dan Tukang Batu di Johor.Menurut laporan itu kerja-kerja tanah dan aktiviti pembukaan tanah menjadi punca utama pencemaran air sungai di 31 lembangan, manakala sumber utama sisa kumbahan termasuk ternakan haiwan dan sisa domestik menyumbang kepada pencemaran di 30 lembangan.Sisa pelepasan industri asas tani dan perkilangan pula telah mencemarkan 18 lembangan sungai di seluruh negara pada 2004.-- BERNAMA

No comments: